Isnin, 22 September 2008

Lumrah UMNO, diangkat ketika berpangkat – YDP PAS Setiu

Ditulis oleh Wartawan Buletin
Wednesday, 20 August 2008

Setiu - Sudah menjadi lumrah UMNO, mengangkat mana-mana pemimpin yang berpangkat dan berkuasa dan begitu juga sebaliknya, mereka akan membuang pimpinan mereka sendiri, apabila tidak lagi mempunyai kuasa.

“Lihat apa yang belaku kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, sekarang sudah menjadi seperti ‘kera sumbang’,”kata Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu, Ustaz Mohd Pauzi Muda ketika mengulas isu terbaru yang melibatkan UMNO Bahagian Setiu. (Ustaz Pauzi (tengah) sewaktu penamaan calon Pilihanraya Umum lalu)

Kelmarin, bekas Ahli Parlimen Setiu, Mohd. Yusop Majid telah kalah dalam merebut jawatan peringkat paling bawah, iaitu Ketua UMNO Cawangan Banggol, Setiu.

Kekalahan Yusop dianggap ‘pelik’ kerana beliau selaku Ketua Penerangan UMNO Bahagian langsung tidak dihormati oleh ahli-ahli UMNO bawahan, kalah kepada seorang bekas Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).

“Itulah tabie’e UMNO yang berjuang kerana kuasa dan pangkat, apabila mereka mempunyai kuasa dan pangkat maka ramailah pengikut yang ‘nak tumpang sekaki’,

“berbeza dengan kita (PAS), pemimpin dipilih atas ilmu yang dimiliki selain kewibawaan dan pengalaman mengurus jamaah,”kata Ustaz Pauzi yang dihubungi melalui SMS pagi ini.

Buletinonline difahamkan Yusop Majid yang juga turut kalah dalam cubaan beliau untuk merebut Naib Ketua UMNO Cawangan.

Kekalahan Yusop yang juga seorang peguam kepada hanya seorang Pengerusi JKKK dilihat oleh Setiausaha PAS Kawasan Setiu, Ustaz Nazari Alias sebagai sesuatu yang memalukan.

Ustaz Nazari berkata UMNO kini menjadi sebuah parti ‘ringgit dan sen’, tidak mempunyai pendirian dan hala tuju.

Beliau berkata demikian kerana menurutnya rata-rata pemilihan UMNO samada diperingkat cawangan atau pun yang lebih tinggi dikuasai oleh rasuah politik.

Pengerusi UMNO Terengganu Dato’ Ahmad Said, awal bulan ini mengakui gejala rasuah politik yang melibatkan sogokan wang berleluasa dalam pemilihan jawatan.

Justeru itu, beliau menyeru supaya orang-orang yang faham tentang ugama dikampung-kampung di daerah Setiu menjauhkan diri dari UMNO atau meninggalkan UMNO sekiranya masih menjadi ahli.

“Orang-orang bukan Islam dan bukan Melayu pun sudah tidak percaya lagi kepada UMNO, apa lagi kita orang-orang Islam,

“terlalu banyak gejala rasuah yang berlaku dalam UMNO, baik dalam kerajaan atau pun dalam pemilihan parti itu sendiri,”tambah Ustaz Nazari.

Tiada ulasan: