Rabu, 17 Disember 2008

Polis Dan Kita

Perjumpaan Pimpinan PAS Terengganu dengan Ketua polis Negeri baru-baru ini.

Zaman sekolah dulu bila di tanya oleh cikgu, antara cita-cita bila dewasa nanti ialah nak jadi polis. Waktu petang pula sesama kawan-kawan ( masa tu tak ada lagi video game dsbnya. Main cuma dalam semak dan padang sekolah je. ) seringkali juga main sorot-sorot dan juga polis lawan penjahat. Maka berebutlah antara kami siapa nak jadi polis. Masih terbayang jelas bagaimana pistol yang di buat sendiri daripada kayu yang di jadikan senjata polis menembak orang yang berada di pihak musuh. Dan betapa bangganya apabila dalam permainan tersebut polis mendapat kemenangan. Jika sebaliknya polis yang kalah, maka orang yang berada di pihak polis akan minta lawan sekali lagi sehingga menang, walaupun ketika itu waktu sudah begitu hampir maghrib.

Seorang bapa saudara saya akhirnya berjaya bekerja sebagai anggota polis dan kini sedang bertugas di negeri Kelantan. Di peringkat awal apabila di panggil berkursus menjadi polis, beliau menjadi kebanggaan keluarga. Lebih-lebih lagi beliau adalah orang pertama daripada kampung kami yang bekerja sebagai anggota polis.

Senario di atas saya catitkan di sini sebagai gambaran rasa hormat dan bangganya kita dengan tugas serta tanggung jawab pihak polis menjaga keselamatan dan keamanan masyarakat kita. Lebih-lebih lagi apabila kita membaca kisah-kisah mengenai pengorbanan yang di lakukan oleh polis sehingga kadang-kadang sanggup menggadai nyawa ketika bertugas menjaga keamanan daripada di ganggu gugat oleh penjenayah dan subversif.

Pagi tadi ketika lalu di hadapan sebuah balai polis di tempat saya, terlihat beberapa orang pimpinan PAS berada di balai berkenaan bersama dengan anggota keselamatan parti. Bila di tanyakan salah seorang daripada mereka, saya di maklumkan pada malam tadi polis telah menahan beberapa orang pelajar yang mengadakan program bermalam beberapa hari di markas PAS sempena cuti sekolah ini. Program tersebut adalah tamrin ( dalam bahasa sekolahnya di sebut KEM ) biasa bagi pelajar sekolah semasa cuti-cuti begini. Bahkan sekarang ini terlalu banyak Kem-Kem yang di anjurkan oleh pelbagai pihak di pelbagai tempat.

Saya belum dapat gambaran lebih jelas motif tahanan yang di buat. Adakah kerana ianya di buat di markas PAS atau pun pelajar-pelajar tersebut menganggu penduduk sekitar. Tapi melihat lokasi tempat program tersebut, langsung tidak munasabah jika penduduk sekitar rasa terganggu kerana ianya brjauhan daripada rumah penduduk, lebih-lebih lagi pelajar-pelajar tersebut adalah pelajar sekolah menengah. Sementara jika penahanan di buat kerana program di adakan di markas PAS juga adalah satu yang tak masuk akal.

Seorang sahabat yang mengulas perkara tersebut mempersoalkan mengapa polis mengambil tindakan begitu. Kes-kes kecurian, samun, pusat-pusat penagihan dadah, judi dan lepak apabila dibuat aduan kepada polis, begitu lambat polis bertindak. Bahkan teringat saya kepada aduan yang di buat oleh seorang sahabat saya satu ketika dulu apabila rumahnya di naiki pencuri pada waktu malam, bila di tangkap pencuri tesebut dan menelefon polis, polis cuma menyuruh sahabat tadi menghantar sendiri pencuri tadi ke balai. Apabila berkali-kali di beritahu masalah tersebut barulah polis datang beberapa jam selepas itu. Banyak lagi kes-kes aduan berkenaan jenayah yang begitu lambat bahkan tidak ada tindakan langsung daripada pihak polis.

Melihat juga tindakan polis mengganggu program-program parti seperti ceramah, demontrasi aman dan sebagainya (Kes Batu Buruk, Batu Enam & Batu rakit ), juga menangkap dan menahan individu tertentu berdasarkan politik, maka rasa hormat kepada polis semakin terhakis. Di tambah pula dengan cakap-cakap rasuah yang begitu banyak di kalangan anggota polis.

Terfikir juga jika perkara ini berterusan, mungkin sampai satu peringkat nanti polis tidak lansung di hormati lagi bahkan di benci oleh masyarakat umum. Polis di takuti kerana kuasa menahan dan menangkap orang, bukan lagi di sanjung kerana membenteras jenayah. Bahkan semakin berleluasa sekarang cakap-cakap bahawa polis bukan lagi bekerja mencegah jenayah, tetapi kerja polis sekarang sebagai pelindung kepada penjenayah. Tentulah cakap-cakap tersebut tak dapat di elakkan apabila ketua polis negara sendiri pernah di dakwa terlibat rasuah walaupun di nafikan selepas itu. Kes-kes rasuah dan jenayah bersekala besar yang di lakukan oleh kepimpinan negara bahkan pimpinan utama negara yang di ketahui oleh rakyat, tidak di buat tindakan yang memuaskan hati rakyat oleh pihak polis. Bahkan banyak penyelewengan yang terang-terang di lihat pun, polis tidak bertindak apa-apa bila melibatkan orang-orang tertentu. Tidak sedikit cakap-cakap yang mengatakan punca masalah dadah tidak dapat di selesaikan adalah kerana yang terlibat mengedarkan dan membenarkan pengedaran dadah adalah di kalangan polis sendiri. Ini di kuatkan dengan beberapa kes tangkapan yang dibuat terhadap anggota polis yang terlibat dengan berbagai kes yang di siarkan oleh media.

Kita bukannya mahu menuduh yang bukan-bukan kepada polis, tetapi polis sendiri perlu membuktikan cakap-cakap tersebut adalah tidak betul. Bukan dengan menangkap orang yang bercakap tetapi mereka mesti membuktikan dalam tindakan mereka supaya di lihat bersih oleh masyarakat.

Seperti di sebutkan di awal tadi bahawa tugas polis menjaga keamanan masyarakat adalah sangat di sanjung. Tetapi jika perkembangan-perkembangan semasa yang mencemarkan imej polis seperti menjadi alat untuk menyelamatkan kuasa perasuah dan penjenayah negara berterusan, rasa benci dan permusuhan dengan polis oleh rakyat akan semakin merebak dan sampai satu peringkat polis akan di kenali sebagai penjenayah dan rakyat akan bertempur dengan polis secara besar-besaran.

Kita harap perkara tersebut tidak akan berlaku.......

Tiada ulasan: