Jumaat, 24 April 2009

Menjelang Muktamar

kerja - kerja bodoh dalam pas
Oleh: Ust Nik Abduh Nik Abd Aziz

Salam Kamunting,

Di meja makan di bahagian dapur di rumah ayahanda yang saya masih kekal tinggal bersama sedari kelahiran dulu, selalulah saya bersembang dengan ayahanda pasal macam - macam hal kehidupan yang biasanya akan panas dan panjang bila ianya berulamkan politik dan perjuangan.

Terbaru saya lontarkan kepadanya hujahan para ulama daripada buku yang saya baca mengenai keabsahan seorang muslim untuk hadir dan turut sama menjawat dan memerintah di dalam sebuah kerajaan yang bukan Islam.

Saya sebutkan kepada ayahanda bagaimana para ulama mengambil bahagian cerita Nabi Yusuf alaihissalam menjawat jawatan sebagai menteri kewangan di dalam sebuah kerajaan syirik Mesir kuno sebagai hujah utama dan vital yang membenarkan penawaran untuk turut membantu pemerintahan bukan negara Islam.

Syarat terpenting yang menjadi pemutus ialah jemputan kepada jawatan itu mestilah dalam kemuliaan dan kekuatan. Mereka meminta dan kita berhak memutus, bukan mereka. Kemudian kita tidak diikat dengan syarat - syarat yang menghalang unsur keadilan Islam untuk ditegakkan. Masuk dengan kemuliaan sebagaimana Nabi Yusuf dijemput untuk turut mempersembahkan kebijaksanaan dan keadilannya ke atas rakyat dalam pemerintahan tersebut.

Saya kemukakan untuk memukaddimahkan perbincangan mengenai kerajaan Pakatan Rakyat dan Unity Government yang dicadangkan sebagai alternatif kepada kerajaan BN hari ini sedang merasai kepedihan dihimpit kemarahan rakyat yang melata.

Saya memberanikan untuk berhujah bahawa samada BN atau Pakatan Rakyat, kedua - duanya bukan daripada jenis negara Islam. Maka menerima kerajaan mana pun, hujahnya ada dan hujah itu terpakai dengan syarat ketat sebagaimana yang digariskan ugama tersebut.

Selamba saja ayahanda memberi komen. “Ya, jika BN mahu kita bersama, mereka mestilah bersedia memberikan kita jawatan - jawatan yang penting yang kita akan laksanakan program Islam di dalamnya. Berikan Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan misalnya. Kita nak jadi PM mesti mereka tak terima. Jadi kita minta apa yang penting untuk kepentingan rakyat dan negara. Kita boleh bersama.”

Saya memiliki banyak cerita menarik di sebalik apa yang anda tahu mengenai ayahanda. Komennya di atas bukankah mencetuskan persoalan ini di benak anda, bukankah Tok Guru lantang menolak Unity Government? Bukankah Tok Guru berang dengan cadangan Tuan Guru Hj Hadi ini?

Biar saya bagitahu anda, ayahanda hidup dengan hujah. Itulah makanan berkhasiat yang memanjang dan memberkati umurnya. Bila hujah ugama itu ada, bagaimana ayahanda akan tolak mentah - mentah?

Justeru fahami ini bahawa ‘Unity Government’ yang ditolak ayahanda adalah jenis kerajaan yang difahamkan kepadanya oleh pembantu - pembantu ayahanda yang berpakaian serba tahu. Mereka seronok untuk melaga -lagakan di antara TGNA dan TGHH.

Mereka menyangka mereka telah melakukan kebaikan, sedang telah sesatlah segala usaha mereka di sisi tuhan. Semoga Allah membalasi mereka dengan kejahatan yang mereka lakukan!

Bukankah anda dapat lihat bagaimana semacam ayahanda menghentam ‘kerajaan campuran’ bukan unity Government? Bukankah selepas pertemuan kurang sepuluh mata bersama TGHH, ayahanda tidak lagi menyerang. Ertinya sesuatu yang baru dan meyakinkan telah diperolehinya daripada TGHH. Itulah yang disembunyikan secara sengaja daripadanya.

Di mana pergi pembantu - pembantu ayahanda yang sesat pekerjaan mereka itu di sisi tuhan!? Semoga Allah melaga- lagakan di antara mereka pula di dunia ini agar mereka segera bertaubat!

Modus Operandinya sama. Selepas pertemuan ayahanda dengan ulama PAS di JKR 10 beberapa bulan lepas, ayahanda menerima muzakarah atau muqabalah selepas bermatian menolaknya. Saya diberitahu daripada sumber yang diyakini, sesetengah pembantu ayahanda ini menyumpah seranah kerana kegagalan mereka mengekalkan ayahanda dalam suasana keruh dan panas dengan TGHH. Mereka gagal selepas mereka yakin berjaya. Allah menggagalkan usaha jahat mereka.

Ayahanda seorang yang hebat. Antara kehebatannya adalah ‘husnuzhan’ dengan semua orang. Semua orang boleh hidup di sekelilingnya. Pembantu, pengampu, pencacai dan sesiapa pun. Tolak babi dan anjing! Tuhan membalas atas pekerjaan masing - masing.

Adapun penghormatan ayahanda terhadap TGHH, maka ia adalah penghormatan yang gagal diperolehi kecuali oleh para ulama. Ayahanda sering memuji TGHH. Saya pernah mendengarnya menakjubi ucapan TGHH di Parlimen yang dibacanya di dalam Harakah sedang masa itu suasana panas isu muzakarah masih memuncak. Sesetengah pembantu ayahanda merasa iri dan hasad selepas penghormatan itu gagal menempati diri mereka.

Bagaimana mereka akan memperolehinya, sedang mereka hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup’, lalu mendakwa mereka pun ulama juga dengan istilah - istilah ugama yang dihafal, bukan difaqihi?

Dunia ulama adalah penuh disiplin. Taqwa adalah disiplin terbaik. Taqwa adalah milik ulama, bukan milik orang yang mengaku ulama atau ulama mini sekali pun. Kita tidak mampu merebutinya kerana ia adalah kurniaan khas daripada Allah. Kita hanya mampu meminta daripadaNya.

Menghampiri proses pemilihan menjelang Muktamar PAS nanti, anda sedang menyaksikan usaha daripada pelbagai sudut dan penjuru, jauh dan dekat oleh sesetengah yang mungkin saja saya sifatkan sebagai sekumpulan ‘pejuang nafsu’ yang tersusun untuk memisahkan di antara ulama yang disayangi rakyat.

Ayahanda digunakan. Inilah calon restuan Tuan Guru Nik Abdul Aziz! Inilah calon restuan Kelantan!Bukankah sebelum ayahanda berangkat ke Mekah, beliau secara jelas mengumumkan untuk tidak berpihak dan menyatakan keenggananya bersuara, bimbang ia mengganggu emosi ahli PAS di dalam kebebasan memilih?

Di mana adab? Di mana kesetiaan? Di mana sifat malu?

Masihkah anda mahu hanyut dalam dunia politik yang kotor hatta dalam PAS? Jika begitu, sayalah musuh anda!

Isnin, 20 April 2009

Musim Pemilihan Pimpinan Baru

Setelah UMNO melakukan transformasi pimpinan mereka dengan pertukaran secara menyeluruh, bermula Presiden, Timbalan, Naib-Naib, ketua-ketua sayap Pemuda, Wanita dan Putri, tiba pula giliran PAS yang sedang dalam proses memilih pimpinan sekarang ni sehingga menjelang Muktamar awal Jun nanti.

Yang menjadi perhatian sekarang ialah pencalonan oleh Kawasan-Kawasan terhadap jawatan utama Parti. Dengar khabar telah ada kawasan yang mencalunkan nama lain bagi jawatan Presiden selain penyandang sekarang iaitu Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Namun tumpuan utama pemilihan tahun ini bukan jawatan Presiden itu, kerana di katakan tidak ada orang yang berani mencabar jawatan Presiden, walaupun di katakan ada orang yang sangat mengidamkan jawatan itu.

Tumpuan sekarang adalah jawatan Timbalan Presiden. Budaya melobi, walaupun tidak berlaku secara meluas sebagaimana UMNO, sedikit sebanyak berlaku juga. Tidak ada wang yang di gunakan untuk melobi. Cuma masing-masing berkempen tentang kelebihan calon-calon bertanding berbanding pesaing yang ada. Tak dapat di elak juga pendedahan kelemahan dan keburukan pesaing. Maklumlah manusia ni walaupun telah menjadi pemimpin, mana ada yang sempurna. Terlalu banyak kelemahan dan kekurangan yang jika di buka dan di ungkit akan terbuka lah aib di sana-sini.

Peringatan kepada para pelobi supaya jangan melampau dalam berkempen. Patuhilah adab-adab sebagai muslim sebagaimana peringatan Rasul supaya tidak di dedahkan aib saudara kita. Nanti aib kita akan terdedah jua. Yang bimbangnya apabila terdedah aib kita, ianya menjadi punca kemusnahan masa depan kita.

Dalam suasana Mesyuarat Agung Kawasan-Kawasan yang sedang rancak sekarang, waspadalah terhadap suara-suara musuh yang mahu memecahkan saf jemaah. Samada suara itu keluar melalui media yang jelas di kuasai oleh musuh, mahupun ianya keluar melalui media alternative yang di tulis oleh ahli jemaah sendiri. Berpada-padalah dalam melobi mana-mana individu yang kita mahu tonjolkan. Sehebat manapun seseorang itu, tetap ada kelemahan yang memungkinkan berlaku ketidakpuasan hati kita di masa depan.

Mudah-mudahan Allah sentiasa melindungi Parti kita dan di lantik barisan pimpinan yang mampu membawa ahli-ahli kearah Mardhatillah. Bukannya memimpin ahli menyeleweng daripada ubudiyyah sebenar yang menjadi matlamat hidup seorang muslim dan menjadi matlamat kepada perjuangan jemaah.

Sabtu, 18 April 2009

Mesyuarat Agung DPPKS

Seminggu berlalu mesyuarat agung Dewan Pemuda PAS Kawasan Setiu (DPPKS) yang di adakan pada 11 April 2009 bertempat di Masjid Lama kg Buluh, Bandar permaisuri, setiu.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah selaku Perasmi Mesyuarat Agung Kali ini menerima cenderahati daripada Ketua Pemuda Setiu yang lalu Ustaz Shaharizukirnain.

Mesyuarat Agung pada tahun ini di adakan pemilihan AJK yang baru. Selaku timbalan pada sessi lalu, nak tak nak terpaksalah memikul beban amanah selaku ketua pula pada sessi ini berikutan bersaranya Ust Shahari yang telah melewati usia pemuda.

Banyak yang perlu di lakukan untuk memastikan kesinambungan perjuangan untuk menarik sokongan pemuda dan melaksanakan agenda perubahan bagi memartabatkan Islam dalam kehidupan anak muda. Golongan remaja yang telah di rosakkan pemikiran dan cara hidup mereka oleh UMNO selama lebih separuh abad . Inilah medan saya sekarang. Lujnah-lujnah telah di bentuk dua hari lepas dan InsyaAllah pasukan ini akan terus bergerak dan bekerja semampu mungkin.

Antara perwakilan yang hadir.

Pasukan baru ini ada Dr, ada Peguam, ada Guru, ada tukang lektrik, ada boroh kasar, ada petani dan ada mekanik di samping usahawan daripada pelbagai bidang.

Harapan yang tinggi di harapkan daripada sahabat-sahabat ini untuk sama mengembeling tenaga menjayakan fokos yang telah di buat dalam mesyuarat pertama baru ini.

UMNO dan PRK Bkt Gantang

Banyak peristiwa berlaku sejak posting terakhir saya dalam blog ni. Pertembungan dalam UMNO yang di jangka begitu hebat pada awalnya, berakhir dengan kemenangan pada team Mahadhir/Najib. Mereka telah menguasai hampir seluruh jentera untuk merempuh Pak Lah. Sementara Anwar pula tak mampu membantu Pak Lah dengan kedudukan di luar kerajaan.

Kemenangan Khairi pada mulanya di lihat sebagai momentum yang kuat untuk mempertahankan Pak Lah sebagai PM. Rupanya kemenangan awal sehari Khairi itu memberi kesempatan kepada Najib untuk membuat kawalan seketat mungkin bagi menghalang sebarang usaha untuk menafikan kemenangan team beliau.

Apapun kita sekarang berperdanamenterikan seorang yang dilihat umum sebagai seorang yang penuh dengan skandal. Skandal ekonomi, skandal sex, skandal jenayah pembunuhan dan pelbagai lagi. Tapi itulah gambaran UMNO yang sebenar. UMNO memang tidak membenarkan sebarang unsur agama meresap masuk ke dalam mereka. sebarang usaha untuk membawa unsur agama akan tersingkir, walaupun ajaran agama itu di cipta sebegitu rupa untuk menipu bagi meraih sokongan semata ( cnth: Islam Hadhari ).

UMNO di lahirkan oleh golongan bangsawan berpendidikan Inggeris. Walaupun memanipulasikan sokongan daripada orang melayu bawahan, tetapi dulu, kini dan selamanya UMNO tetap bertahan dengan bangsawan dan feudalnya. Ini kerana memang itupun dasar perlembagaan UMNO.

Beza dengan PAS yang meletakkan Islam sebagai dasar, walaupun ada turun naik dari sudut penghayatan oleh ahli mahupun pimpinannya, PAS tetap bertahan dengan cara dan stail berdasarkan apa yang termaktub di dalam perlembagaannya.

Kemenangan PRK Bukit Gantang memberi makna tersendiri kepada PAS. Walaupun media cuba menimbulkan kemenangan itu adalah menandakan isu boneka yang di canangkan oleh UMNO itu betul, tetapi PAS mempunyai asas dan pegangan tersendiri. Soal undi bukan melayu yang memberi kemenangan tersebut tidak timbul. Ianya adalah gelombang sokongan yang sentiasa berubah mengikut masa. Ianya adalah ketentuan Allah swt. yang mahu memberi kemenangan mengikut cara yang pelbagai.

Dalam sejarah dicatitkan kemenangan Islam melalui pelbagai cara pertolongan Allah. Ada kemenangan melalui peperangan senjata seperti dalam kisah Talut. Ada kemenangan melalui tenggelamnya musuh di dalam laut seperti kisah Firaun dan nabi Musa. Ada melalui ribut taufan, ada melalui gempa bumi dan sebagainya lagi. Soal bagaimana kemenangan itu adalah mengikut kehendak Allah. Yang penting kepada kita ialah apabila kita telah berusaha dan bertawakkal, kita hendaklah pastikan kerja dan dasar kerja kita bertepatan dengan kehendak Allah swt.

Ahad, 22 Mac 2009

Pohon Demokrasi

Gambar di ambil pada 16 mac sehari sebelum YAB Nizar di raikan hari jadi beliau di bawah pokok ini pada 17 mac lepas. Kelihatan bekas tapak plak yang di buang oleh MBI. Lambang Demokrasi yang di cabut oleh kerajaan zalim UMNO yang merampas kuasa dengan cara yang begitu menjolok mata.



Jumaat, 20 Mac 2009

PRK Bukit Gantang

Kami di amanahkan membantu UPU Cangkat Jering dalam DUN Cangkat Jering bersama Kawasan Hulu Terengganu dan Kawasan Kubang Kerian, Kelantan serta Tanjung Malim, Perak. Setakat ini dua pertemuan telah di buat, 28 Feb dengan AJK UPU berkenaan dan 15 Mac sekali dengan Kubang Kerian. Perjumpaan di adakan yang pertama untuk taaruf dan keduanya bagi mengatur dan menyelaras kerja-kerja yang boleh di bantuKanan sekali adalah Ketua Cawangan Batu 7, di tengah-tengah Pengarah UPU Cangkat Jering dan di kanan beliau ialah setiausaha UPU. Hujung sekali ketua Cawangan Batu 6, satu lagi cawangan dalam UPU ini.
Markas UPU Cangkat Jering terletak dalam Cawangan Batu 7
Bermula 18 mac lapas pasukan petugas telah berada di UPU ini daripada Setiu seramai lebih kurang 15 orang dan selebihnya daripada Hulu Terengganu. Mereka akan bertugas sehingga 22 mac dan akan di sambung pula oleh pasukan kedua sehingga 27 mac. Pasukan ketiga akan berada di sana sehingga 2 Apr dan Pasukan ke empat akan sudahi jadual bertugas ini sehingga hari mengundi 7 Apr nanti.

Rabu, 11 Mac 2009

Khamis, 5 Mac 2009

PAS dan UMNO Tidak Sama......

Sekali lagi tulisan Al Akh, Timbalan Ketua DPPP Ust Nasaruddin Tantawi ingin saya kongsi dalam blog ini. Sama ada Ust Tantawi atau Ust Nik Abduh, keduanya adalah pimpinan pemuda yang di lahirkan melalui tarbiyyah secara lansung oleh pipinan utama jemaah. Pandangan mereka sangat perlu di ambil kira mewakili golongan muda yang bakal mewarisi mata rantai kepipinan jemaah di asa depan....

Tidak sama Perjuangan
PAS dengan UMNO



Sempena Dialog dan Pentas Pemuda anjuran Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krau kelmarin membawa tetamu undangan dari Kelantan al Fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz .

Saya berkesempatan untuk turut serta mengiringi Al Fadhil Ustaz Nik Abduh menyampaikan amanah beliau kepada saf kepimpinan pemuda kawasan Kuala Krau .

Saya tertarik kepada beberapa nokhtah yang digariskan oleh Al Fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh ketika membezakan perjuangan PAS dan UMNO sekali gus menjawab tanggapan kononnya PAS dan UMNO serupa dan sama - sama memburu kuasa dan takhta politik . Ketika mengulas perkara ini , Al Fadhil Ustaz Nik Mohd Abduh berhujjah dengan surah Faathir . Ayat : 22 :

و ما يستوى الأعمى و البصير
dan tidak sama orang yang buta berbanding orang yang celik .

Perbedaan orang buta dengan orang yang celik pasti sahaja jauh bezanya . Bukan sahaja dilihat pada jurang penguasaan pancaindera tetapi juga dilihat pada pengaruh dan kesannya. Penafsiran orang yang buta berbanding orang yang celik dalam sesuatu perkara tentulah menatijahkan kesimpulan yang berbeza .

Sebagai seorang muslim , kecelikan bukan terhad di sempadan dunia semata - mata pula tidaklah hanya menggunakan pancaindera mata untuk melihat sebaliknya tahap kecelikannya menjangkau sempadan akhirat dan turut melihat dengan mata hati yang dianugerahkan oleh Allah swt berasaskan petunjuk wahyu bagi membezakan antara yang hak dan yang bathil .

Mereka yang gagal membezakan antara yang hak dan yang bathil , taat dan maksiat , islam dan jahiliyah , iman dan kufur adalah mereka yang buta . Buta mata hati walau mata zahirnya celik . Apalagi kebenaran yang telah terbentang di depan mata dengan segala fakta dan figure yang tepat , namun masih tidak nampak . Golongan ini samaada benar - benar buta atau buat - buat buta , jelasnya golongan ini mesti dipimpin oleh orang yang celik mata dan mata hatinya .


و لا الظلمات و لا النور
dan juga tidaklah sama kegelapan berbanding cahaya

Mereka yang berada di dalam kegelapan pastinya gagal mencari arah perjalanan yang betul dan pasti pula ia teraba - raba mencari arah . Lebih parah apabila suasana gelap menyukarkan mereka berhadapan dengan apa jua kemungkinan dan fenomena ini menimbulkan risiko kepada diri mereka sendiri .

Kegelapan bererti dunia tanpa hidayah justeru hidayah adalah cahaya yang memandu mereka melandasi jalan yang lurus bagi mendapatkan redha Allah swt . Hidup dalam kegelapan ialah hidup bergelumang maksiat dan mungkar . Hidup yang tidak mengenal dosa pahala apalagi syurga neraka . Mereka yang terperangkap dalam kegelapan ini akan melakukan apa sahaja tanpa menilai dari aspek hukum dan implikasinya . Tanpa cahaya hidayah , panduan mereka ialah nafsu dan aqal yang terpisah dari wahyu Allah swt .


و لا الظل و لا الحرور
dan tidaklah sama tempat teduh berbanding tempat panas .

Teduh memberi keselesaan malah nikmat kepada siapa sahaja yang mampu bernaung di bawah teduhan tersebut . Jiwa tenang dan emosi terkawal berbanding mereka yang berjemur di tengah panas yang pastinya menimbulkan keresahan dan gangguan emosi .

Akhirat kelak , mereka yang berada di bawah teduhan arasy ialah mereka yang telah dipilih oleh Allah swt . Antaranya ialah pemuda yang hatinya bergantung dengan rumah Allah swt [ masjid ] sementara mereka yang terpaksa berjemur dibawah terik matahari yang hanya sejengkal dari kepalanya ialah mereka yang derhaka kepada Allah swt. Meninggalakan tanggungjawab dan amanah Allah swt untuk mengurus kehidupan didunia berdasarkan syariat yang telah diwahyu .


و ما يستوى الأحياء و لا الأموات
dan tidak juga sama orang yang hidup berbanding orang yang mati .

Tentu sahaja terdapat perbezaan yang tiada siapa mampu menyangkalnya antara orang hidup dengan orang yang telah mati . Orang yang mati terputuslah hubungan dengan segalanya kecuali sedekah jariah , anak soleh yang mendoakannya dan ilmu yang bermanafaat . Ada pun orang hidup masih mempunyai ruang dan peluang untuk berbakti kepada Allah swt dan melaksanakan tanggungjawab di atas muka bumi .

Begitulah jua orang yang hidup tetapi mati jiwanya . Tidak sama dengan orang yang jiwanya hidup dan senantiasa mengingati Allah swt lalu mengawal diri dari terjebak dalam kancah politik yang tidak amanah , rasuah , penyelewengan dan salah guna kuasa .

Orang yang jiwanya mati tidak dapat memahami bahkan tidak mengerti apa - apa . Tidak tahu nilai kebenaran apalagi mahu membezakannya dengan kebathilan . Baginya hidup hanya untuk makan dan minum , puaskan nafsu syahwat dan melakukan apa sahaja yang didorong oleh nafsu . Jiwa yang mati tiada perhitungan dan perkiraan .

akhirnya al Fadhil ustaz Nik Mohd Abduh membawakan sepotong ayat dari surah al Hasyr . Ayat 20 :

لا يستوى أصحاب النار و أصحاب الجنة أصجاب الجنة هم الفائزون
Tidak sama penghuni neraka berbanding penghuni syurga . Penghuni syurga adalah mereka yang beroleh kemenangan .

Penghuni syurga ialah mereka yang mendapat redha Allah lantaran hidup mereka berpaksi agama benar yang diwahyukan Allah swt . Mereka yang berjaya menunaikan perintah Allah dengan penuh taat dan tanggungjawab . Mengorbankan diri menempuh cabaran demi menegakkan agama Allah dan mendaulatkan syariatnya .

Berbeza ahli neraka yang hidup dibawah pengaruh maksiat dan mungkar . Menghalalkan apa yang telah diharamkan oleh Allah swt . Mengabaikan amanah dan perintah Allah kerana mementingkan nafsu yang buas dan syahwah yang tidak pernah puas

Sebagaimana wujudnya perbezaan ketara antara buta dan celik , gelap dan cerah , teduh dan panas , hidup dan mati demikianlah bezanya ahli syurga dan ahli neraka . Tiada siapa yang boleh menganggap serupa melainkan golongan yang jahil lagi bodoh yang tidak tahu membezakan .

Demikianlah ketaranya perbezaan antara perjuangan PAS dan UMNO . Mana boleh dianggap sama . Jauh langit bumi apabila PAS berjuang untuk mendaulatkan syariat Allah swt di atas tanahair ini sementara UMNO masih setia bersama fahaman kebangsaan dan sehingga kini memusuhi PAS dan enggan menerima tawaran PAS untuk menjadikan Malaysia ini sebagai sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah swt .

Rabu, 25 Februari 2009

MEMBARA 4

Malam tadi di putuskan MEMBARA kali ke 4 tahun ini akan di adakan pada 28 Mei ini seminggu sebelum Muktamar PAS Pusat. Tahun ini di pilih cawangan Bukit Nenasi sebagai tuan rumah. MEMBARA 1 di Pengkalan Atap, kali ke 2 di Tanjung dan ke 3 pula Bukit Cempaka. Di harapkan MEMBARA 4 ini akan lebih berjaya dengan menampilkan kelainan-kelainan aktiviti pemuda bagi menarik perhatian golongan ini mendekati seterusnya memberi sokongan kepada Jemaah dan perjuangan Islam.
YB Ust Mohd Nor Hamzah merasmikan MEMBARA 3, 2008
Ust Aqil Hayy dan Ust Alim Zakaria Soutul Amal di MEMBARA 1, 2006

Karamah Mujahideen Dalam Perang Ghazzah

Tulisan ini di copy daripada blog seorang sahabat.

Perang 22 hari di Gaza akhirnya dimenangi oleh Islam mengalahkan tentera Israel yang lebih ramai, peralatan yang canggih serta bantuan serangan dari udara dan laut. Kini usaha dan tenaga ditumpu kearah membina semula infrastruktur Ghazzah yang musnah. Dalam masa yang sama penduduk Ghazzah bercerita tentang karamah (keramat) yang berlaku sepanjang Jihad tersebut.

Ini membangkit lagi keimanan dan semangat mereka untuk terus berjuang membebaskan bumi Palestin dari penjajahan Yahudi dan Kuasa-kuasa Besar Dunia. Dari ceramah dalam program "Malam Selamatkan Palestin" di Masjid Sikamat, Seremban anjuran ISMA NS yang
disampaikan oleh wakil Palestin, Naji As-Sarhiy dan badan-badan kebajikan yang pulang dari GGhazzah baru-baru ini, berikut adalah sebahagian kecil dari kisah-kisah Karamah tersebut yang sampai kepada saya :

1. Mujahideen, walaupun tangkas di medan darat, namun terdedah kepada bahaya serangan dari udara yang dikuasai 100% oleh tentera Israel. Satu ketika datang sekumpulan burung berhampiran dengan mereka. Tiba-tiba burung-burung tersebut terbang secara mengejut seolah-olah ada sesuatu akan berlaku di situ. Melihat keputusan burung-burung tersebut, para Mujahideen juga segera meninggalkan tempat tersebut. Hanya beberapa ketika selepas itu tepat di tempat tersebut dibedil oleh tentera Yahudi.


2. Ketika para Mujahideen bertekad untuk menyerang kawasan tentera Israel, datang kabus meliputi kawasan tersebut, lalu mereka dapat mara sehingga ke tengah-tengah tentera Yahudi sedang musuh tidak dapat melihat mereka. Para mujahideen dapat menembak kesemua musuh dengan mudah.

3. Seorang doktor menceritakan ketika dia membedah seorang mujahid yang dibom oleh Yahudi hingga habis tubuh badannya dimasuki serpihan besi (sharpnel). Mujahid tersebut masih hidup kerana jantungnya tidak ditembusi serpihan besi tersebut kerana serpihan dibahagian dadanya melekat pada kitab Al-Quran yang beliau letakkan di dalam poket bajunya.

4. Enam roket dilancarkan dan berjaya membunuh musuh sedangkan ketua belum lagi mengeluarkan arahan agar roket dilancarkan. Apabila ditegur oleh ketua, para mujahideen menafikan mereka melancarkan apa-apa roket. Apabila diperiksa, memang keenam-enam roket tersebut masih ada di tempat pelancarnya.

5. Apabila seorang tentera Yahudi disoal oleh wartawan talivisyen kenapa matanya menjadi buta. Dia menjawab datang seorang memakai pakaian putih dan melemparkan pasir ke matanya.

6. Beberapa orang tentera Yahudi mengatakan bahawa tentera HAMAS yang mereka lihat memakai pakaian putih, sedangkan para Mujahideen memakai pakaian ala tentera seperti biasa.

7. Seorang wanita mengandung disahkan doktor disetiap pemeriksaan bahawa kandungannya adalah bayi perempuan. Sebaik suaminya syahid dalam Perang Ghazzah, pemeriksaan doktor mendapati kandungannya adalah seorang lelaki.

8. Dalam masa 22 hari peperangan, bayi-bayi lelaki yang dilahirkan lebih ramai dari kebiasaan iaitu lebih dari 3000 orang bayi lelaki. Bilangan yang terbunuh ialah seramai lebih 1300 orang (sahaja). Allah swt menggantikan dalam peperangan tersebut, mujahideen masa depan yang lebih ramai.

Apabila jenazah Hasan Ismail Abu Syanab yang syahid pada hari pertama serangan Yahudi ke atas Ghazzah, hendak dikebumikan di liang lahad ayahnya, Asy-Syahid Ismail Abu Syanab, yang syahid 5 tahun lalu, mereka dapati jasad Ismail masih dalam keadaan seperti mula-mula dikebumikan 5 tahun lalu. Kain kafannya masih putih bersih. Sila ke laman Karamah Asy-Syahid Ir. Ismail Abu Syanab di Gaza. Beliau adalah salah seorang pengasas dan pemimpin HAMAS.

"Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda keterangan Kami di ufuk dan dalam diri-diri mereka sendiri sehingga jelas kepada mereka bahawa Dia adalah benar. Tidakkah cukup lagi bahawa Tuhanmu, sesungguhnya Dia menyaksi segala sesuatu. " (Fussilat:52)