Sabtu, 29 Ogos 2009

‘Kaki Ponteng’ Puasa Tidak Hirau Masyarakat


BATU RAKIT - Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa mengambil tindakan tegas terhadap umat Islam yang membeli dan makan di kedai makan bukan Islam, kerana tujuan utama berniaga pada waktu siang Ramadan adalah atas permintaan pelanggan bukan Islam.

Tinjauan Sinar Harian di Pantai Batu Rakit sekitar jam 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari mendapati sebuah kedai makan yang terletak di atas bukit berhadapan masjid besar di kampung tersebut turut menjual makanan kepada ‘kaki ponteng’ puasa.

Hasil tinjauan Sinar Harian kira-kira dua jam di premis berkenaan juga mendapati beberapa ‘kaki ponteng’ terutama belia bermotosikal tanpa segan silu membeli makanan di kedai makan berkenaan dan ia berlaku sejak hari pertama umat Islam berpuasa.

Penduduk sekitar sini mendakwa mereka langsung tidak menghiraukan masyarakat sekeliling.

Turut berbuat demikian adalah beberapa lelaki berumur yang mungkin datang dari luar kawasan kerana mudah mendapatkan makanan dan minuman di situ.

:Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pantai Batu Rakit, Zainaldin Ismail, 36, ketika dihubungi bagi mengulas isu berkenaan berkata, perbuatan menjual makanan kepada umat Islam di premis tersebut sudah bermula sejak tahun lalu.

“PBT perlu memandang serius masalah ini kerana bidang kuasa jawatankuasa JKKK adalah terhad, sepatutnya pihak berkaitan melancarkan operasi di semua kedai makan yang dikenal pasti menjadi tumpuan umat Islam membeli makanan secara terbuka,” katanya.

Zainaldin berkata, bagi peniaga makanan bukan Islam pula mereka sepatutnya memberikan kerjasama dengan mematuhi peraturan dan tidak menjual makanan dan minuman kepada umat Islam lebih-lebih lagi secara terbuka pada bulan Ramadan ini.

Sementara itu, salah seorang ‘kaki ponteng’ yang ditemui Sinar Harian berkata, pelanggan beragama Islam boleh membeli makanan dengan mudah di premis tersebut termasuk menghubungi mereka terlebih dahulu sebelum datang mengambilnya kemudian.

Tiada ulasan: